Ahad, 23 Ogos 2015

MAHAGURU DAN PENGASAS SENI SILAT LINCAH MALAYSIA


Dato’ Haji Omardin bin Mauju merupakan Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM). Silat Lincah adalah satu aliran perguruan seni silat tempur di Malaysia dengan nama PERTUBUHAN SENI SILAT LINCAH MALAYSIA (PSSLM).

Sejarah Dato’ Haji Omardin dengan Melaka cukup sinonim dari hubungan kekeluargaan hinggalah ke dunia persilatan. Beliau merupakan cucu saudara kepada Allahyarham Tuan Haji Taha Kalu dan sehingga ke hari ini masih mempunyai adik-beradik dan keluarga di Merlimau, Melaka. Manakala sejarah persilatan, dari sebuah pulau kecil yang penuh dengan kesuciannya iaitu Pulau Besar, Melaka yang mana di sinilah Silat Lincah dilahirkan, pertubuhan yang dipimpin oleh Dato’ Haji Omardin bin Mauju hari ini yang bergerak aktif sejak didaftarkan pada tahun 1969, bukan sahaja dikenali di Malaysia sebaliknya berjaya mengembangkan sayap ke beberapa negara luar termasuk England, Belgium, New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan yang terbaru di Korea Selatan, sehingga kini mencapai 30,000 keahlian di luar negara.

Dengan keunggulan kepimpinan Dato’ Haji Omardin, kini PSSLM sudah pun mempunyai keanggotaannya seramai lebih dari 800 000 orang ahli di pelusuk tanah air dan tercatat dalam buku Malaysia Book Of Record terbitan tahun 1998 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad pada Disember 1998, sebagai sebuah pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang mempunyai “Keanggotaan Terbanyak dan Terunggul”.

Sumbangan Kepada Seni Silat

Dato’ Haji Omardin bin Mauju adalah merupakan orang yang telah mencetuskan insipirasi bagi mewujudkan satu badan rasmi yang dapat menggabungkan, mengawasi, mengawal semua Pertubuhan Silat yang berada di Malaysia seterusnya meningkatkan martabat dan harakat Seni Silat supaya ianya akan terus dipelajari dan dicintai oleh generasi yang akan datang. Maka usaha bagi mewujudkan Majlis Silat Negara (kini PESAKA Malaysia) pada 1 Mac 1975 adalah merupakan yang bersejarah kepada Seni Budaya Bangsa Orang Melayu apabila Dato’ Haji Omardin telah berjaya mengumpulkan seluruh Guru-Guru Silat dan Pegawai-Pegawai Kerajaan bagi tujuan Penubuhan tersebut. Hasil usaha murni Dato’ Haji Omardin maka hari ini PESAKA Malaysia dianggotai lebih dari 382 Pertubuhan Silat di Malaysia dengan keahlian 3.2 juta orang.

Tanpa bantuan daripada mana-mana pihak Kerajaan mahupun Swasta, Dato’ Haji Omardin telah mula mengorak langkah bagi menubuhkan badan rasmi diperingkat antarabangsa bagi tujuan memperkenal, mengenengahkan Warisan Budaya Bangsa Melayu ke peringkat antarabangsa serta tujuan-tujuan sama seperti penubuhan Majlis Silat Negara. Beberapa siri lawatan rombongan ke luar negara yang telah ditaja oleh Dato’ Haji Omardin sendiri terutamanya ke Indonesia bagi membincang dan mengembangkan Seni Silat Malaysia telah diadakan. Hasil usaha besar tersebut maka hari ini tertubuhlah Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang dianggotai oleh 52 buah negara dari seluruh Benua di Dunia.

Hasilnya PERSILAT merupakan badan yang diiktiraf oleh dunia persilatan untuk membantu pergerakan dan perkembangan silat di peringkat antarabangsa. Tidak cukup dengan penubuhan PESAKA dan PERSILAT, sekali lagi dengan usaha Dato’ Haji Omardin melalui yang berterusan, maka pada 4 Februari 2005 beliau telah berjaya menyatukan Seni Beladiri yang ada di Malaysia di bawah satu badan iaitu Majlis Seni Mempertahankan Diri Negara (MARCIL).

Kejayaan

Dato’ Haji Omardin bin Mauju terus berusaha bagi memperkenalkan Seni Silat Melayu peringkat yang lebih tinggi, bersesuaian dengan matlamat tersebut Dato’ Haji Omardin telah mencapai kejayaan-kejayaan yang besar antaranya :-

Menganjurkan Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri peringkat Dunia yang julung-julung kalinya diadakan dalam sejarah Seni Mempertahankan Diri Negara pada 4hb. Disember 1976 di Stadium Negara Kuala Lumpur yang telah disempurnakan perasmiannya oleh KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah, Timbalan Yang DiPertuan Agong yang disertai oleh 12 buah negara.

Menghasilkan sebuah filem yang berjudul “Selangkah Ke Alam Batin” yang telah ditayangkan seluruh negara dan beberapa buah negara di dunia termasuk di BBC London. Hasil daripada tayangan Filem Dokumentari ini, Silat Melayu telah mula mendapat tempat dan diberi perhatian oleh negara-negara asing.

Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Haji Omardin bin Mauju telah dicatatkan dalam “Malaysia Book Of Records” edisi pertama dibawah tajuk Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri yang mempunyai keahlian yang teramai dan terbanyak dengan jumlah sebanyak 800,000 orang.

Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia hari ini telah membuka cawangannya di 22 buah negara termasuk Benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika dengan keahlian lebih dari 30,000 orang. Usaha ini bukan sahaja berjaya meletakkan maruah Silat Melayu di tahap yang tertinggi tetapi juga merupakan satu jambatan budaya yang memperkenalkan Budaya Bangsa Orang Melayu kepada dunia luar.

Antara kejayaan penting Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia pada hariini antaranya ialah terus kekal menjadi satu satunya Pertubuhan Silat di Malaysia yang tidak dipecah-belah walaupun telah berusia hampir 44 tahun.

Sejarah demi sejarah terus dicipta dan tercatit di dalam diari ulung Silat Lincah apabila kejayaan beliau membawa pemimpin-pemimpin Negara iaitu YAB. Dato’ Seri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi sebagai Ulul Amri II dan YAB. Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebagai Ulul Amri III.

Idea dan Sumbangan Melalui Silat terhadap Kepentingan Masyarakat

Penubuhan Fakulti Silat

Idea oleh Dato’ Haji Omardin ini timbul setelah memikirkan kepentingan warisan unggul Melayu ini iaitu silat harus di jaga warisannya. Malah ilmu silat hari ini menuntut penyampaian yang lebih baik dan bukan sebagai bahan lisan sahaja untuk dipelajari. Ini sekali gus menjadikan ilmu silat wujud dari aspek akademik yang akan dipelajari di universiti-universiti secara formal dan diiktiraf malah ianya juga akan menjadi pusat rujukan oleh pengkaji-pengkaji silat dari dalam mahupun luar negara. Malah idea ini telah pun menjadi realiti.

Silat Lincah Benci Dadah

Kesediaan Dato’ Haji Omardin membuat lawatan pertama ke Pusat Serenti Bukit Mertajam pada 6 April 2006 telah menguatkan lagi azam Silat Lincah membantu golongan ini pulih sepenuhnya melalui modul latihan khas dalam silat seterusnya pelatih-pelatih ini untuk diterima masyarakat. Lebih membanggakan dalam lawatan tersebut secara rasminya Pusat Serenti Bukit Mertajam, Pulau Pinang mencatat sejarah apabila menjadi pusat pertama membuka gelanggang Silat Lincah.

PSSLM memberi khidmat kepakaran untuk membimbing penagih dadah di pusat serenti bagi mengelakkan mereka kembali ke tabiat itu melalui modul latihan khas untuk menguatkan lagi aspek jasmani, fizikal dan kerohanian sekaligus meningkatkan keyakinan diri. PSSLM juga berupaya melatih penagih bagi mengembalikan keyakinan dengan meletakkan sasaran mereka tidak menagih semula selepas keluar dari pusat serenti dan berusaha menyerap mereka kembali kepangkuan masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, berusaha mendapatkan pekerjaan dan yang lebih penting untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat terhadap golongan ini.

Penutup

Usaha dan pengorbanan besar yang telah dilakukan selama lebih 44 tahun oleh Dato’ Haji Omardin bin Mauju adalah dengan harapan untuk melihat supaya salah satu Seni Warisan Budaya Bangsa Orang Melayu ini agar tidak akan “Lapuk Dek Hujan, Lekang Dek Panas” haruslah diberi perhatian kerana pada hari ini, kejayaan Seni Silat Melayu di Persada Antarabangsa adalah mengalakkan dan usaha ini tidak akan berhasil dan berjaya tanpa keikhlasan, komited dan pengorbanan yang lebih besar yang telah dibuat oleh Dato’ Haji Omardin bin Mauju yang juga merupakan salah seorang Tokoh Seni Silat Melayu yang disegani pada zaman ini.

Inilah perjuangan Dato’ Haji Omardin yang bukan sahaja hanya bersilat tetapi menjadikan Silat Melayu penebus maruah bangsanya bagi membina tamadun Melayu yang unggul ini ke peringkat antarabangsa.

Butir-Butir Diri

Nama : Dato’ Haji Omardin bin Mauju DMPN, DSSA, DSPN
Tarikh lahir : 29 Mei 1941
No. K.P. (Baru) : 470529-10-5563. (Lama): 7688927.
Alamat : No. 5, Jalan Puah Off Jalan Gombak, 53000,
Kuala Lumpur.
No. Telefon : 03-40247214/40 Fax: 03-40247235
H/P: 019-3330099, 019-2542727
Status : Berkahwin.
Nama Isteri : Datin Raja Azizah bt. Raja Ahmad Shah.
: Datin Norazian bt. Haji Abdul Rahman.

Bilangan Anak : 8 orang
Haji Megat Zulkarnain, Wan Zurina, Megat Khairul Anuar, Megat Ady Putera dan Putra Al
Farouk, Putra Al Faris, Putri Faradiba, Putri Farahana.

Pekerjaan : Pengerusi Syarikat.
Nama Pertubuhan : Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.
Taraf : Mahaguru Dan Pengasas.
: 1963 – Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia diasaskan di Kg. Puah, Selangor.
: 1969 – Didaftarkan sebagai Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.
: Keahlian Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia 800,000 di Malaysia, 30,000 di Eropah.

Anugerah
: 27/3/1999 – Di Anugerahkan Darjah Kebesaran “Dato’ – Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah” (DSSA) oleh KDYMM Sultan Selangor.

: 24/3/2001 – Di Anugerahkan Gelaran Master 7 Dan, dari Persekutuan Taekwando Global Malaysia.

: 19/7/2002 – Di anugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa Gelaran Dato’ (DSPN) oleh TYT Gabenor Negeri Pulau Pinang.

: 19/7/2005 – Di anugerahkan Darjah Mulia Pangkuan Negeri yang membawa

Gelaran Dato’ (DMPN) Kelas Pertama oleh TYT Gebanor Negeri Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan